Friday, May 14, 2010

Remaja dan Keinginan Mereka

Dahagakan Perhatian Atau Kasih Sayang

Kebanyakan apa yg hati mereka inginkan adalah perhatian terutamanya ibubapa. Mungkin mereka merasakan ibubapa tidak memahami mereka dan tidak memberikan perhatian yang secukupnya. Perkataan
PERHATIAN adalah antara perkataan yang banyak saya lihat didalam catatan-catatan mereka. Mungkin ibubapa tidak memberikan perhatian yang secukupnya kepada mereka, menyebabkan apa yang mereka mahukan adalah perhatian ibubapa. Mungkin juga guru-guru hanya pandai memarahi tapi tidak mengasihi menyebabkan mereka merasa tersisih dan tidak mempunyai sesiapa di dunia ini.

Pernyataan seperti "menjadi anak berguna" dan "ingin menggembirakan ibubapa" merupakan satu kenyataan atau pernyataan tersembunyi bahawa mereka dahagakan perhatian dan kasih sayang ibubapa. Apa yang mereka mahu didunia ini adalah apa yang ibubapa mahu, bukannya apa yang mereka mahu. Ini akan menyebabkan mereka belajar didalam keadaan tertekan, kerana mereka belajar kerana orang lain seperti ibubapa, guru-guru dan masyarakat. Keinginan mereka bukannya milik mereka, tapi milik ibubapa mereka.



Kesan Dahaga Kasih Sayang

Sepertimana orang yang dahaga, pasti mereka mahukan minuman untuk menghilangkan dahaga mereka. Remaja yang dahagakan kasih sayang, akan mencarinya diluar daripada rumah. Maka, keluarlah peranan kawan, kenalan dan sebagainya. Masalahnya, kenalan/rakan-rakan adalah sama seperti mereka dan belum matang untuk menjadi pembimbing.

Sebab itulah , kadang-kadang kita lihat, pelajar sekolah mempunyai teman lelaki yang jauh lebih tua dan bekerja. Mereka mampu memberikan duit dan mempermainkan perasaan mereka. Natijahnya, mereka mudah terjebak ke dalam kancah zina. Mungkin kita sudah biasa, melihat pelajar sekolah masih memakai baju sekolah membonceng motorsikal bersama teman yang dewasa. Inilah sebenarnya apa yg remaja mahu.

Tapi kita masih gagal mengesan dan menanganinya. Apa yang kita berikan hanya teguran, marah dan sebagainya. Tapi, sebelum kita memarahi mereka, cuba kita selami apa yang menyebabkan ia berlaku, mungkin ada masalah di rumah. Keinginan seorang muslim. Tetapi, sebenarnya yg paling mengecewakan, ialah tiada seorangpun keinginannya sepertimana yang digariskan Allah didalam Al-Quran iaitu mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Semuanya menginginkan utk diri mereka ataupun keinginan ibubapa. Namun tak ada seorang pun yang ingin menunaikan keinginan Rasulullah.

"Sesungguhnya aku ciptakan jin dan manusia untuk beribadat kepadaku"

Inilah sebenarnya tujuan dan keinginan kita yang teragung. Yang tak ada batasan duniawi ,tetapi melangit terus menjulang ke
'Arasy Allah. Inilah tujuan kenapa kita dihidupkan dan inilah tujuan kenapa kita berada di dunia ini. Kita telah diciptakan untuk menjadi khalifah di muka bumi, tetapi kenapa cita-cita kita hanya menjadi seorang doktor, seorang anak yang berjaya dan sebagainya.

Cita-cita ini tidak salah, tapi kita membataskannya hanya setakat perkara-perkara duniawi.


Kenapa itu sahaja yang kita inginkan?


Saya pasti ramai yang ada cita-cita, ramai yang ada keinginan, ramai yang ada perancangan dan mungkin sekarang sedang menuju cita-cita mereka. Saya merayu, gabungkan sedikit keinginan Rasulullah dalam tujuan hidup kita.

Sesiapa yang ingin menjadi guru, janganlah sekadar menjadi guru, tetapi jadilah guru yang tunduk kepada Allah dan menjadi
Da'ie yang menyeru anak muridnya kepada Islam. Kalau sesiapa yang ingin mengumpul sejuta ringgit, maka niatkanlah sebahagiannya akan disedekahkan ke jalan Allah.

Sesiapa yang ingin membina empayar perniaagaan, maka niatkanlah agar ia bersih dari unsur haram dan dapat membimbing pekerjanya ke arah Iman. Itulah cita-cita yg sebenar. Umat Islam terdahulu memahami perkara ini dan meletakkan tujuannya hanya untuk Allah dan bukan untuk duniawi. Maka sebab itulah dunia datang kepada mereka. Maka, jadilah mereka generasi yang hebat yang pernah menguasai 1/3 dunia.

MARILAH SAMA-SAMA KITA BETULKAN TUJUAN HIDUP KITA
.

"Kalau kamu mengejar dunia, dunia akan hilang apabila datangnya kematian, tapi kejarlah akhirat, nescaya kebahagiaan dunia akan kamu temui dan kebahagiaan akhirat pasti akan menanti "

"Wahai manusia, kamu telah bekerja bersungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka kamu pasti menemuiNya " Al-Insyiqaq- 6

Tenanglah Hati...

Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak.
Tapi..kenapa hati kita tak gembira?

Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"

Apa masalah kita?

Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.

Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?

Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..

Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.

Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye? Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda. Macam mana hati kita nak tenang?

Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...


Wednesday, May 12, 2010

Petua Mencuci Hati

1. Dirikan solat dan banyakkan berdo’a – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo’a turut katakan “Ya,Allah jadikan hatiku bersih”


2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur
– Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.


3. Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.


4. Membaca Al-Quran
– Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah “Qulhu-allah” sebanyak 3X.


5. Berma’af-ma’afan sesama kawan setiap hari
– Semasa meminta maaf perlu sebutkan.


6. Bisikan kepada diri perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri.katakan lah “Aku sebenarnya……(perkara yang elok-elok belaka)


7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati “Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif”. Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya – CUBALAH!!).


8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.


9. Cuba ingat tentang mati
(Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila- bila masa).


10. Kekalkan wuduk.



11. Bersedekah.


12. Belanja orang makan.



13. Jaga makanan
– jangan makan makanan yang shubhah.(diragui halal dan haramnya.)


14. Berkawan dengan ulama.


15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi).


16. Pesan pada orang, jadi baik.



17. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut…dsb), jangan dengar orang mengumpat


**Jangan bertangguh lagi.. Jom kita sama-sama mengamalkannya
smiley-wink **

Tuesday, May 11, 2010

Jangan Dipandang Remeh Dosa Kecil

Ramai manusia tertipu oleh kata hatinya sendiri selepas diputar belit pengaruh syaitan. Syaitan berbisik ke dalam hati manusia: "Allah Maha Penyayang, rahmat-Nya meliputi segala sesuatu. Selepas kamu melakukan dosa kecil, mengapa Allah tidak juga menurunkan apa-apa bala ataupun azab disebabkan maksiat kamu itu? Bukankah dosa yang kamu lakukan itu ringan saja? Lepas buat bertaubatlah! Habis cerita. Jangan takut, amal baik kamu banyak lagi." Tidaklah semudah itu menanggalkan daki maksiat dalam jiwa raga kita. Jika dikiaskan maksiat seperti kotoran yang melekat pada kain, boleh dihilangkan dengan sekali cucian saja, alangkah mudahnya. Asalkan dicuci dengan taubat maka hilang serta-merta. Sedangkan kain yang selalu diberus untuk menghilang noda tidak akan bertahan lama. Pasti koyak rabak akhirnya. Inikan pula hati manusia. Jangan diremehkan dosa kecil. Semakin kerap ia dilakukan walaupun dengan diiringi taubat, ia akan merosakkan hati dan seterusnya memberi kesan kepada amal perbuatan keseluruhannya.


Apakah kesan daripada melakukan dosa kecil?

Merangsang untuk melakukan dosa besar. Jarang sekali ditemui seseorang yang tiba-tiba membunuh tanpa ada mukadimah pergaduhan atau pertelingkahan. Begitu juga orang yang berzina, pasti ada mukadimah rangsangan yang dilihat oleh matanya, ciuman atau sentuhan dalam pergaulannya.

Ibarat titisan air yang terus menerus boleh melubangi bongkah batu yang keras, maksiat dilakukan terus menerus akan memberi kesan kepada maksiat yang lebih besar lagi. Mata yang memandang gambar keji menjijikkan akan menyuruh kepada anggota badan yang lain untuk berzina. Sehingga Ibnu Abbas berpendapat: "Tidak ada dosa kecil jika terus menerus dilakukan. Kerana ia akan merangsang seseorang melakukan dosa besar." Kadang-kadang perbuatan baik yang dilakukan hamba walaupun kecil dan ringan, bagi Allah ia sungguh bermakna. Demikian juga sebaliknya, dosa yang bagi manusia sedikit tetapi cukup membuat Allah murka hingga hari kiamat. Seperti Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Adakalanya seseorang melepaskan sepatah kata daripada kata-kata yang diredai Allah yang dia tidak menyangka hal itu sedemikian rupa, tiba-tiba dicatat oleh Allah dalam keredaan-Nya sehingga dia berhadapan dengan Allah dalam keadaan diredai. Demikian pula ada kalanya seseorang bercakap sepatah kata daripada kata-kata yang membuat kemurkaan Allah yang dia tidak menyangka akan sedemikian rupa tiba-tiba dicatat oleh Allah dalam kemurkaan-Nya hingga hari kiamat."
(Hadis riwayat Imam Malik dan al-Tirmizi)







Berasa aman daripada azab Allah.

Orang yang sentiasa melakukan dosa kecil beranggapan dia boleh berpegang kepada tali rahmat dan kasih sayang Allah sehingga tidak akan mungkin terjatuh ke dalam jurang kebinasaan. Tetapi sayang, dia sesungguhnya lupa terhadap sifat Allah yang Maha Adil saat membalas setiap kejahatan. Bukankah sudah datang khabar daripada wahyu yang menyatakan perbuatan yang besar atau kecil semuanya tertulis dalam kitab catatan amal manusia? Setiap pandangan yang menyimpan syahwat, kebencian atau kedengkian segalanya dirakam dengan begitu rapi. Perkataan yang mewakili fitnah, ghibah dan kekotoran zina juga tidak luput daripada pemerhatian dua malaikat pencatat amal. Firman Allah yang bermaksud:

"Dan diletakkan kitab catatan, lalu kamu akan melihat orang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak pula yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada tertulis. Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juga pun."
(Surah al-Kahfi, ayat 49)


Tetapi mengapa manusia masih merasa aman daripada azab dan hukuman Allah? Mungkin kerana azab Allah itu tidak terus diturunkan serta-merta selepas mereka melakukan maksiat. Cuba anda bayangkan selepas melayari laman web lucah seseorang terus dijangkiti penyakit mata merah yang rasanya gatal dan pedih bukan kepalang. Pasti tidak ada seorang manusia pun berani melihat benda keji seperti itu. Ataupun selepas mengumpat, mengeji dan memfitnah orang lain tiba-tiba orang itu terkena kanser di mulutnya. Selepas puas makan harta anak yatim perutnya membuncit. Perkara ini tak pernah berlaku disebabkan kelembutan Allah kepada makhluknya. Namun demikian, masih saja mereka yang bermaksiat itu berdalih: "Mengapa Allah tidak membalas kejahatanku ini? Aku masih hidup dengan limpahan nikmat-Nya, tidak ada musibah dan seksa yang menimpa diriku." Lantas dia menyangka baik apa-apa perbuatan jahat yang dilakukannya. Padahal Allah hanya menangguhkan balasan atas kejahatannya itu untuk menguji sekebal mana imannya melawan libasan pedang maksiat. Al-Quran menggambarkan manusia yang merasa aman daripada perbuatan maksiat dalam firman Allah yang bermaksud:

"Mengapa Allah tidak menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu? Cukuplah bagi mereka Jahanam yang akan mereka masuki dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
(Surah al-Mujadilah, ayat 8)



Mencemarkan jiwa dan menghilangkan rasa nikmat dalam beribadah.

Dosa kecil yang dilakukan terus menerus walaupun boleh dihapuskan dengan melakukan solat dan berpuasa seperti mana disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Sembahyang lima waktu, Jumaat hingga Jumaat dan Ramadan hingga Ramadan menjadi penghapus dosa di antaranya. Jika kamu menjauhkan dosa besar." Akan tetapi kekerapan melakukan dosa bagaimanapun akan membawa pengaruh buruk dalam keseluruhan peribadi seorang Muslim. Setiap perbuatannya yang mewakili kejahatan akan membekas di dalam jiwa. Apabila perbuatan dosa itu semakin sedap dilakukan, maka akan dicabut nikmat dari dalam hati hamba ketika bermunajat kepada Allah. Dan digantikan dengan azab yang tidak nampak. Apakah bentuk azab itu? Tahukah anda azab yang paling menyakitkan berbanding kanser, muflis, dipulaukan kawan, dijarah harta benda, dilucutkan daripada pangkat dan jawatan bahkan diaibkan di dada akhbar? Azab ini begitu berbahaya, mematikan kesucian jiwa hingga meranapkan binaan iman. Azab yang melanda hati. Iaitu apabila hati tidak merasai kemanisan berdekatan dengan Allah, apabila kenikmatan ibadat itu telah dicabut daripada rongga hati. Selagi mana seseorang itu melakukan dosa dia tidak akan merasai nikmatnya beribadah.

Apakah ada kekhusyukan ibadat bagi orang yang menyimpan amarah, dengki dan cemburu kepada orang lain? Adakah terasa nikmatnya berpuasa bagi orang yang tak pernah puas melayani hawa nafsunya? Adakah berkesan ibadat zakat dan sedekah bagi mereka yang tamak kepada harta orang lain? Adakah nikmat merasai kelazatan al-Quran bagi orang yang suka membaca aib orang lain dengan begitu teliti. Semua itu adalah akhir daripada rentetan panjang sejarah dosa kecil yang dilakukan, bermula secara senyap, sedikit dan tidak nampak. Akhirnya menjadi kebiasaan, terang-terangan tanpa rasa malu dan takut. Bermula melakukan dosa kecil berakhir dengan kejahatan besar yang menjadi penyesalan buat selama-lamanya.